Monday, 6 May 2013

Berpakaian Mengikut Islam


Assalamualaikum warahmatullah,

Firman Allah SWT dalam Surah al-A'araf, ayat 26 yang bermaksud; “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan- bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”

Islam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia melalui Nabi Muhammad SAW adalah penyelamat dan pembawa rahmat kepada mereka dan seluruh kehidupan mereka. Ia penyelamat manusia dalam setiap kegiatan dan kehidupan mereka di dunia dan memberi rahmat kepada manusia di saat bertemu kembali dengan Tuhan mereka di akhirat kelak.

Dalam hal ini, Islam telah memperincikan secara jelas tentang adab dan peraturan dalam mengurus kehidupan manusia termasuklah dalam hal yang berkaitan dengan pakaian dan perhiasan untuk mereka. Islam sebenarnya adalah agama yang mudah dan memudahkan umatnya bila garis dasar yang ditetapkan dalam berpakaian ialah menutup aurat dan bersih.

Aurat mengikut jumhur ulama bagi lelaki ialah dari bawah lutut hingga ke atas pusat mereka. Walau bagaimanapun, adab dan kesopanan dalam berpakaian menurut Islam menambahkan sehingga ke atas bahu apabila kita diminta meletakkan kain atau pakaian lain menutupi hingga ke atas dua bahu ketika hendak sembahyang.

Manakala aurat bagi wanita ialah seluruh tubuh mereka kecuali muka dan dua tangan bermula dari pergelangan tangan mereka. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa seluruh tubuh wanita itu adalah aurat termasuk muka mereka dengan alasan muka juga boleh menarik perhatian lelaki yang “hatinya berpenyakit” dan akan menimbulkan fitnah dalam masyarakat. Sewajarnya seseorang itu memakai pakaian yang sesuai kerana pakaian sopan dan menutup aurat adalah cermin seseorang itu Muslim sebenar.

ISLAM tidak menetapkan bentuk atau warna pakaian untuk dipakai, baik ketika beribadah atau di luar ibadat. Islam hanya menetapkan bahawa pakaian itu mestilah bersih, menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang Muslim.

Selain itu, Islam yang diterima oleh seluruh manusia di seluruh pelusuk dunia adalah berpunca dari pembawa yang sama iaitu Nabi Muhammad SAW dan baginda adalah dari bangsa Arab yang berpakaian mengikut budaya bangsa baginda. Oleh sebab puncanya bermula dari bangsa Arab yang mana cara pemakaian mereka ialah jubah, serban atau kopiah (sesuatu yang menutup kepala) bagi lelaki dan berjubah labuh menutup seluruh tubuh bagi wanita, maka ia juga turut dikira sebagai budaya pemakaian Islam bahkan lebih jauh lagi ia sudah dicap sebagai imej Islam itu sendiri. Firman Allah SWT yang bermaksud;“Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”

Rasulullah SAW sendiri dalam segala segi manjadi rujukan dan ikutan setiap umat Islam yang komited dan istiqamah dengan suruhan agama, maka mereka turut meniru dan membudayakan setiap amalan dan tindakan termasuklah cara Rasulullah SAW berpakaian dalam hidup mereka. Itulah yang melambangkan imej dan syiar Islam sehinggakan keperibadian seseorang hamba itu turut dinilai melalui cara mereka berpakaian.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab, ayat 59 yang bermaksud; “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Inilah antara lambang kesempurnaan dan ajaran bagaimana Islam mendidik umatnya dalam berpakaian dan memilih pakaian yang melambangkan ketaqwaan kepada Allah. Oleh itu, kita sebagai umat Islam dan selagi kita meyakini bahawa setiap ajaran Islam itu benar dan meyakini bahawa Allah itu benar, maka kita akan dengan rela hati memilih dan berpakaian menurut Islam dan menjulang tinggi pakaian yang manjadi syiar dan lambang keislaman dan ketaqwaan kita walaupun ada mereka yang membenci, marah atau menyerang kita.

Ketahuilah, hakikatnya mereka mahu menyerang Islam itu sendiri tetapi mereka memperalatkan seorang dua golongan yang berperangai syaitan tetapi meniru pakaian Islam. Yakinlah Allah tetap bersama kebenaran dan Allah pasti bersama kita selagi kita bersama kebenaran. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa', ayat 85 yang bermaksud; “Sesiapa yang memberikan syafaat (tauladan) yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan tauladan yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas semua perkara.”

Di dalam Islam ada garis panduan tersendiri mengenai adab berpakaian (untuk lelaki dan wanita) iaitu:

1. Menutup aurat

AURAT lelaki menurut ahli hukum ialah daripada pusat hingga ke lutut. Aurat wanita pula ialah seluruh anggota badannya, kecuali wajah, tapak tangan dan tapak kakinya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Paha itu adalah aurat.” (Hadis riwayat Bukhari)



2. Tidak menampakkan tubuh

PAKAIAN yang jarang atau nipis sehingga menampakkan aurat tidak memenuhi syarat menutup aurat. Pakaian jarang bukan saja menampak warna kulit, malah boleh merangsang nafsu orang yang melihatnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan meliuk-liukkan badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk. Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh.” (Hadis riwayat Muslim)




3. Pakaian tidak ketat

TUJUANNYA adalah supaya tidak kelihatan bentuk tubuh badan.



4. Tidak menimbulkan riakRASULULLAH SAW bersabda bermaksud, “Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana perasaan sombong, Allah SWT tidak akan memandangnya pada hari kiamat.” 

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Sesiapa yang memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan pada hari akhirat nanti.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'iy dan Ibnu Majah)

5. Lelaki, wanita berbeza

MAKSUDNYA pakaian yang khusus untuk lelaki tidak boleh dipakai oleh wanita, begitu juga sebaliknya. Rasulullah SAW mengingatkan hal ini dengan tegas menerusi sabdanya yang bermaksud, “Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda juga bersabda bermaksud, “Allah melaknat lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)

6. Larangan pakai sutera

ISLAM mengharamkan kaum lelaki memakai sutera. Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Janganlah kamu memakai sutera, sesungguhnya orang yang memakainya di dunia tidak dapat memakainya di akhirat.” (Muttafaq 'alaih)



7. Melabuhkan pakaian

CONTOHNYA seperti tudung yang seharusnya dipakai sesuai kehendak syarak iaitu bagi menutupi kepala dan rambut, tengkuk atau leher dan juga dada.



Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai Nabi, katakanlah (suruhlah) isteri-isteri dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman, supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Menurut riwayat Imam at-Tirmidzi dan Nasai, dari Ummu Salamah r.a., Ya Rasulullah, bagaimana perempuan akan berbuat kain-kain mereka yang sebelah bawah? Sabda Rasulullah SAW, Hendaklah mereka memanjangkan barang sejengkal dan janganlah menambahkan lagi ke atasnya.

8. Memilih warna sesuai

CONTOHNYA warna-warna lembut termasuk putih kerana ia nampak bersih dan warna ini sangat disenangi dan sering menjadi pilihan Rasulullah SAW. Baginda bersabda bermaksud, “Pakailah pakaian putih kerana ia lebih baik, dan kafankan mayat kamu dengannya (kain putih).” (Hadis Riwayat an-Nasa'ie dan al-Hakim)

9. Larangan memakai emas

TERMASUK dalam etika berpakaian di dalam Islam ialah barang-barang perhiasan emas seperti rantai, cincin dan sebagainya. Bentuk perhiasan seperti ini umumnya dikaitkan dengan wanita namun pada hari ini ramai antara para lelaki cenderung untuk berhias seperti wanita sehingga ada yang sanggup bersubang dan berantai.

Semua ini amat bertentangan dengan hukum Islam. Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Haram kaum lelaki memakai sutera dan emas, dan dihalalkan (memakainya) kepada wanita.”

10. Larangan menggunakan perhiasan yang berbunyi

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nur, ayat 31 bermaksud, “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Wanita muslimah tidak dibenarkan menggunakan rantai kaki yang berloceng yang melilitkan kakinya. Rantai berloceng ini apabila dipakai walaupun tersembunyi tetap bergemerincing dan menarik perhatian orang lain, lebih-lebih lagi lelaki JAHAT.

11. Berlebih-lebihan dalam berwangi-wangian

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina.” (Hadis dari Abu Musa al-Asy’ari)

Wanita muslimah tidak guna minyak wangi yang baunya semerbak hingga menusuk hidung orang yang dilintasinya. Wangian sebegini mempunyai kuasa penyerakan bau yang amat tinggi kerana kadar kemeruwapannya tinggi. Biasanya kekuatan bau ini menunjukkan kadar kekompleksan rantai alcohol (secara kimia) yang digunakan utk membuat pewangi itu. Wanita yang tidak memakai wangian yang kuat ini tahu bahawa inilah yang dipesan oleh Rasulullah SAW. Bukan tidak boleh berwangi-wangi tetapi bersederhanalah dalam pemakaian wangian tersebut.

12. Larangan bertabaruj

Wanita yang menjaga maruah dirinya tidak mengguna alat make-up untuk menonjolkan kejelitaannya melainkan di hadapan suaminya sahaja. Adab bersolek (tabarruj) ini amat ditekankan kepada wanita muslimah kerana semestinya kecantikannya adalah hak ekslusif yang mesti persembahkan kepada suaminya sahaja. Jika ingin keluar bekerja, dia memakai make-up secara bersederhana sahaja sehingga tidak jelas kelihatan pada wajahnya dia bersolek. Jangan bersolek sehingga cantiknya anda sehingga kadang-kadang wajah anda menjadi seperti pelakon opera Cina! Jika hendak bergincu, gunalah gincu yang tidak menyerlah warnanya.

13. Mulakan sebelah kanan

APABILA memakai baju, seluar atau seumpamanya, mulakan sebelah kanan. Imam Muslim meriwayatkan daripada Aisyah r.a. bermaksud, “Rasulullah suka sebelah kanan dalam segala keadaan, seperti memakai kasut, berjalan kaki dan bersuci.”

Apabila memakai kasut atau seumpamanya, mulakan dengan sebelah kanan dan apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah kiri.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Apabila seseorang memakai kasut, mulakan dengan sebelah kanan, dan apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah kiri supaya yang kanan menjadi yang pertama memakai kasut dan yang terakhir menanggalkannya.” (Hadis riwayat Muslim).

14. Selepas beli pakaian

APABILA memakai pakaian baru dibeli, ucapkanlah seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan At-Tirmidzi yang bermaksud, “Ya Allah, segala puji bagi-Mu, Engkau yang memakainya kepadaku, aku memohon kebaikannya dan kebaikan apa-apa yang dibuat baginya, aku mohon perlindungan kepada-Mu daripada kejahatannya dan kejahatan apa-apa yang diperbuat untuknya. Demikian itu telah datang daripada Rasulullah.”

15. Berdoa

KETIKA menanggalkan pakaian, lafazkanlah: “Pujian kepada Allah yang mengurniakan pakaian ini untuk menutupi auratku dan dapat mengindahkan diri dalam kehidupanku, dengan nama Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia.”

Sebagai seorang Islam, sewajarnya seseorang itu memakai pakaian yang sesuai menurut tuntutan agamanya kerana sesungguhnya pakaian yang sopan dan menutup aurat adalah cermin seorang Muslim yang sebenar.


Solat

  
                                                                                                                                                                      
Solat 5 waktu sehari semalam amatlah penting untuk kita bagi yang beragama Islam. Jikalau kita tinggal, khadolah sebelum terlambat. Ingat! Walaupun kita dalam keadaan kurang sihat (sakit), kita diwajibkan solat kerana Allah S.W.T telah memberi begitu banyak cara solat.

Contohnya :-
1) secara berdiri
2) secara duduk
3) secara berbaring

Jadi, walaupun kita dalam keadaan yang kurang sihat kita tetap diwajibkan solat kerana solat itu wajib disisi agama.



16 jenis solat sunat


1) Sunat Rawatib - iaitu solat sunat mengiringi solat fardhu. Solat sunat rawatib ada dua jenis:
a. Sunat "Qabliyah" iaitu solat rawatib yang dikerjakan sebelum solat wajib, dan waktu-waktunya ialah: 2 rakaat sebelum solat Subuh, 2 rakaat sebelum solat Zuhur, 2 atau 4 rakaat sebelum solat Asar, dan 2 rakaat sebelum solat Isya';
b. Sunat "Ba’diyyah" iaitu solat rawatib yang dikerjakan setelah solat fardhu, dan waktu-waktunya ialah: 2 atau 4 rakaat sesudah solat Zuhur, 2 rakaat sesudah solat Maghrib dan 2 rakaat sesudah solat Isya'.

2) Sunat Dhuha - solat ketika matahari baru naik pada waktu pagi sekadar satu galah tingginya, sekurang-kurangnya 2 rakaat dan sebanyak-banyaknya 12 rakaat (enam salam).

3) Sunat Witir - solat selepas solat Isyak, kebiasaannya dirangkaikan dengan solat sunat tarawih. Bilangan rakaatnya ialah 1, 3, 5, 7, 9 atau 11 rakaat.

4) Sunat Tahajjud - solat pada lewat tengah malam selepas bangun dari tidur.

5) Sunat Tasbih - solat yang mengandungi 300 tasbih, dan dianjurkan sekurang-kurangnya dikerjakan sekali seumur hidup. Solat tasbih ada empat rakaat, dengan satu salam jika dikerjakan pada siang hari, dan dengan dua salam jika dikerjakan pada malam hari.
Cara mengerjakan solat tasbih ialah dengan membaca tasbih 15 kali sesudah membaca surat Al-Fatihah, 10 kali tasbih ketika rukuk, 10 tasbih ketika iktidal, 10 tasbih ketika sujud pertama, 10 tasbih ketika duduk antara dua sujud, 10 tasbih ketika sujud kedua, dan 10 tasbih ketika duduk sebelum qiam di rakaat pertama dan ketiga (atau 10 tasbih selepas tahiyyat awal di rakaat kedua, dan selepas tahiyyat akhir di rakaat terakhir sebelum salam.) Ulangi 75 tasbih ini untuk empat rakaat.

6) Sunat Hajat - solat untuk memohon hajat atau ketika berada dalam kesulitan.

7) Sunat Tahiyyatul Masjid - solat ketika memasuki masjid.

8) Sunat Taubat - solat untuk memohon keampunan setelah menginsafi perbuatan mungkar.

9) Sunat Musafir - solat sebelum keluar untuk bermusafir.

10) Sunat Hari Raya - solat pada hari raya Aidilfitri dan AidilAdha, dan mengandungi takbir tujuh kali pada rakaat pertama, dan takbir lima kali pada rakat kedua.

11) Sunat Tarawih - solat selepas solat Isyak pada bulan Ramadan.

12) Sunat Istikharah - solat untuk meminta petunjuk yang baik, apabila kita menghadapi dua pilihan, atau ragu dalam mengambil keputusan. Sebaiknya dikerjakan pada 2/3 malam terakhir.

13) Sunat Mutlaq - solat sunat tanpa sebab dan tidak ditentukan waktunya, juga tidak dibatasi jumlah rakaatnya.

14) Sunat Wuduk - solat selepas mengerjakan wuduk.

15) Sunat Khusuf (Gerhana) - solat sunat sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahari.

16) Sunat Istisqa' (Minta Hujan) - solat sunat yang dikerjakan untuk memohon hujan. Tiga hari sebelum solat istisqa' segenap penduduk diwajarkan berpuasa dan meninggalkan segala kezaliman serta dianjurkan beramal soleh. Pada hari keempat semua penduduk termasuk yang lemah akan pergi ke tempat yang lapang dengan berpakaian sederhana dan tanpa wangi-wangian untuk solat istisqa’. Solat ini juga diiringi dengan dua khutbah selepas solat. Pada khutbah pertama hendaklah membaca istighfar 9 kali dan pada khutbah kedua 7 kali.



~SEJARAH TERJADINYA SOLAT FARDHU 5 WAKTU~



SUBUH

Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar nabi Adam sembahyang dua rakaat.
Rakaat Pertama
Tanda syukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat Kedua   
Tanda syukur kerana siang telah menjelma.



ZOHOR

Manusia pertama yang mengerjakan solat zohor ialah Nabi Ibrahim a.s iaitu tatkala Allah SWT memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. seruan itu datang pada waktu gelincir matahari, lalu sujudlah nabi Ibrahimsebanyak 4 rakaat.
Rakaat Pertama
Tanda syukur bagi penebusan
Rakaat Kedua
Tanda syukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya
Rakaat Ketiga
Tanda syukur dan memohon keredhaan Allah SWT
Rakaat Keempat
Tanda syukur kerana korbannya diganti dengan tebusan kibas



ASAR

Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu sedang masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu sembahyang 4 rakaat kerana baginda telah diselamatkan dari 4kegelapan iaitu:
Rakaat Pertama
Kelam dengan kesalahan
Rakaat Kedua
Kelam dengan air laut
Rakaat Ketiga
Kelam dengan malam
Rakaat Keempat
Kelam dengan perut ikan Nun



MAGHRIB

Manusia yang pertama mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:
Rakaat Pertama
Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah s.w.t
Rakaat Kedua
Untuk menafikan tuduhan dan tomahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang
Rakaat Ketiga
Untuk meyakinkan kaumnya bahawa tuhan itu hanya satu iaitu Allah s.w.t semata-mata, tiada dua atau tiganya



ISYAK

Manusia yang pertama mengerjakan solat Isyak pula ialah Nabi Musa a.s. Pada ketika itu, Nabi musa telah tersesat mencari jalan keluar dari Negara Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa 4 rakaat sebagai tanda syukur.
Rakaat Pertama
Tanda dukacita terhadap isterinya
Rakaat Kedua
Tanda dukacitanya pada saudaranya Nabi Harun
Rakaat Ketiga
Tanda dukacita terhadap Firaun
Rakaat Keempat
Tanda dukacita terhadap anak Firaun


Bahaya meninggalkan solat fardu lima waktu


Subuh 

Allah SWT akan mencampakkannya kedalam neraka Jahannam selama 60 tahun. Sahabat sekalian, 1 tahun di akhirat tidak sama dengan dunia. Jika 1 tahun di dunia kita sudah rasa agak lama, di akhirat 1 tahun bersamaan dengan 60,000 tahun di dunia. MasyaAllah. 7 keturunan kita pun belum lepas 1 tahun jika kita hidup di akhirat.

Zuhur 

Dosa sama seperti membunuh 1000 orang muslim. Sedangkan membunuh seorang orang Islam pun kita akan dicampakkan ke neraka, bayangkan kita telah membunuh 1000 orang muslim. Betapa azabnya kita. Begitu mudah kita mencari dosa tersebut hanya dengan meninggalkan solat Zuhur yang mana jika dilakukan, 15 minit pun tak sampai.

Asar 

Dosa sama seperti meruntuhkan Ka’abah. MasyaAllah, sanggupkah kita meruntuhkan kiblat umat Islam? Renungkan berapa kali sudah kita meninggalkan solat asar dengan sengaja? Dan renungkan juga berapa kali sudah kita meruntuhkan Ka’abah.

Maghrib 

Dosa sama seperti berzina dengan ibubapa sendiri. Saya tak sanggup nak menyedarkan diri saya dengan lebih panjang akan dosa meninggalkan solat maghrib ini. Rasa amat bersalah dengan ibu saya sendiri.

Isyak 

Allah SWT berseru kepada mereka “Hai orang yang meninggalkan solat Isyak, bahawa Aku tidak lagi redha engkau tinggal dibumiKu dan menggunakan nikmat-nikmatku, segala yang digunakan dan dikerjakan adalah berdosa kepada Allah SWT.

Oh Sahabat! Islam sekalian, ketika anda membaca artikel ini anda masih menyedut udara untuk bernafas. Adakah udara itu diredhai Allah SWT? Jika Allah mengenakan charge RM10 setiap kali kita menyedut udara, sudah tentu baru ramai antara kita yang akan tersedar dari tidur.


Antara azab bagi mereka yang meninggalkan solat

Dunia

1. Allah SWT menghilangkan berkat dari usaha dan rezekinya.
2. Allah SWT mencabut nur orang-orang mukmin (soleh) daripada (wajah) nya.
3. Dia akan dibenci oleh orang-orang yang beriman.

Sakaratul Maut

1. Ruh dicabut ketika ia berada didalam keadaan yang sangat haus.
2. Dia akan merasa amat azab/pedih ketika ruh dicabut keluar.
3. (su’ul khatimah)
4. Dia akan dirisaukan akan hilang imannya.

Alam Barzakh

1. Dia akan merasa susah (untuk menjawab) terhadap pertanyaan (serta menerima hukuman) dari Malaikat Mungkar dan Nakir yang sangat menggerunkan.
2. Kuburnya akan menjadi cukup gelap.
3. Kuburnya akan menghimpit sehingga semua tulang-tulang rusuknya berkumpul (seperti jari bertemu jari)
4. (Siksaan binatang-binatang bisa seperti ular, kala jengking dan lipan)

Hari Qiamat

1. Hisab keatasnya menjadi sangat berat
2. Allah SWT tersangat murka kepadanya.
3. Allah SWT akan menyiksanya dengan api neraka.

Nasihat : Saudara-saudaraku, ingatlah, jangan kita menganggap solat jemaah itu satu perkara kecil kerana ianya termasuk dalam sunat mu’akkad yang sangat dituntut – ada yang mengatakan ianya adalah fardhu kifayah.